Infantalk bantu ibu bapa baru fahami tingkah laku bayi, teknik tidur, tangisan dan bermacam-macam topik lagi dengan panduan video ringkas dan praktikal.
Memperkenalkan makanan pejal kepada bayi perlukan perancangan dan pemahaman tentang tekstur yang sesuai mengikut peringkat usia. Episod ini menerangkan perubahan tekstur dari puri halus sehingga ke makanan keluarga, serta kaitan tekstur dengan keselamatan dan perkembangan otot mulut bayi. Turut dibincangkan ialah keperluan elak garam dan gula, pilihan makanan berkhasiat, serta cadangan jenis karbohidrat, protein, sayur dan buah.
Bila bayi masuk usia 6 bulan, pengenalan makanan pejal menjadi langkah penting dalam perkembangan mereka. Episod ini menerangkan tanda bayi bersedia makan, pemilihan masa, kuantiti kecil, jenis makanan pertama seperti bubur nasi, dan pentingnya guna sudu lembut. Ibu bapa juga dibimbing tentang risiko alahan dan bagaimana memperkenalkan makanan baru secara berperingkat. Peralatan asas seperti highchair, bib dan bekas kecil juga dibincangkan agar sesi makan lebih teratur, selamat dan menyeronokkan.
Stres adalah antara cabaran utama dalam penyusuan yang jarang dibincangkan secara terbuka. Ia boleh menjejaskan hormon oksitosin, menyebabkan susu sukar keluar dan bayi jadi gelisah. Puncanya termasuk kurang sokongan, keletihan, tekanan kerja, serta masalah kesihatan. Episod ini menerangkan kesan stres terhadap penyusuan dan cara praktikal untuk urus emosi, termasuk peranan pasangan dan kumpulan sokongan. Dengan sokongan sekeliling dan pengurusan diri, ibu boleh terus menyusu walaupun dalam keadaan mencabar.
Menyuap bayi kelihatan mudah, tetapi kesilapan kecil boleh memberi kesan besar kepada selera makan dan perkembangan anak. Antara kesilapan biasa termasuk memberi makanan terlalu awal, saiz suapan yang tidak sesuai, dan memaksa bayi makan. Ibu bapa juga kadang kala kurang peka kepada isyarat bayi yang sudah kenyang atau tidak selesa. Dengan memahami teknik suapan yang betul, waktu makan menjadi lebih selamat dan menyeronokkan untuk bayi.
Anak kecil yang susah duduk diam atau menolak makanan semasa makan adalah perkara biasa. Antara punca utama termasuk tidak lapar, gangguan sekitar, tekanan semasa makan, atau sekadar mencari perhatian. Tingkah laku seperti membaling makanan atau menangis selalunya adalah isyarat daripada anak untuk berkomunikasi. Dengan memahami punca ini, ibu bapa boleh mencuba pendekatan yang lebih lembut seperti jadual makan konsisten, sajian menarik, dan galakan tanpa paksaan.
Semasa anak sakit, selera makan biasanya berkurang dan sistem penghadaman lebih sensitif. Pemilihan makanan yang lembut, mudah hadam dan cukup hidrasi sangat penting untuk menyokong proses pemulihan. Ibu bapa perlu faham jenis makanan yang sesuai mengikut simptom seperti demam, cirit-birit atau muntah, dan elakkan pemberian makanan yang boleh memburukkan keadaan.
Bahasa bayi merangkumi bunyi, isyarat dan mimik muka yang digunakan oleh bayi untuk menyampaikan keperluan dan perasaan mereka sebelum boleh bercakap. Memahami dan memberi respons kepada petunjuk ini dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak, menyokong perkembangan, dan mengurangkan rasa stres atau kecewa. Ibu bapa boleh galakkan bahasa bayi dengan cara memerhati, berinteraksi, bercakap, membaca dan mewujudkan suasana yang penuh kasih sayang.
Penyusuan susu ibu ialah cara semula jadi untuk memberi nutrisi terbaik, perlindungan imun dan keselesaan kepada bayi sambil menyokong pertumbuhan dan perkembangan yang sihat. Ia juga memberi banyak manfaat kesihatan kepada ibu, termasuk pemulihan yang lebih cepat selepas bersalin dan risiko yang lebih rendah terhadap beberapa jenis penyakit. Selain aspek kesihatan, penyusuan mengeratkan hubungan antara ibu dan bayi, menjimatkan kos dan mesra alam.
Pemakanan pejal bermula seawal usia 6 bulan apabila bayi menunjukkan tanda-tanda sedia untuk makan. Dalam siri ini, ibu bapa akan belajar bagaimana mulakan pengenalan makanan dengan selamat – dari jenis makanan pertama, cara penyediaan, kuantiti permulaan, hingga pengurusan risiko alahan. Setiap topik ditekankan secara praktikal seperti pemilihan tekstur makanan, alatan makan yang sesuai, serta cara kenal pasti jika bayi belum bersedia. Siri ini membantu ibu bapa bina asas nutrisi yang baik dan yakin dalam memperkenalkan makanan pejal kepada anak secara berperingkat dan menyeronokkan.
Pelan percuma ini termasuk akses kepada 9 episod percuma.